Thursday 20 August 2015

Elemen baru EKSA

Lima elemen baru diterapkan didalam EKSA berdasarkan Buku Panduan Pelaksanaan EKSA yang dikeluarkan oleh MAMPU. Ini adalah selaras dengan keperluan dan identiti perkhidmatan awam iaitu:

i) Imej Korporat
ii) Kreativiti & Inovasi
iii) Amalan Hijau
iv) Persekitaran Kondusif
v) Kepelbagaian Agensi

Imej Korporat
Imej Korporat merujuk kepada identiti atau persepsi pelanggan/pihak berkepentingan terhadap persekitaran, tindakan dan pencapaian sesebuah organisasi. Nilai, etika dan norma kerja yang seragam dalam kalangan warga kerja amat diperlukan untuk mewujudkan budaya korporat yang positif. Selain ciri-ciri ini, EKSA juga turut menitikberatkan aspek keselamatan persekitaran di setiap jabatan/agensi sektor awam.

Kreativiti & Inovasi
Dalam   usaha      untuk      mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja, EKSA menggalakkan warga jabatan/agensi membudayakan elemen kreativiti dan inovasi semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Persekitaran sektor awam yang sering kali berubah mengikut peredaran masa menuntut pewujudan budaya organisasi yang dinamik berasaskan kreativiti dan inovasi. Warga jabatan/agensi digalakkan untuk sentiasa berfikir di luar kotak (out of the box) untuk menghasilkan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.

Amalan Hijau
Penekanan turut diberikan pada aspek Amalan Hijau di pejabat dengan melaksanakan program seperti kitar semula dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga ke arah penjimatan sumber. Aktiviti Amalan Hijau diharap dapat diterapkan kepada keseluruhan warga jabatan/ agensi ke arah penggunaan sumber secara optimum.

Persekitaran Kondusif
Persekitaran kondusif adalah penting dalam memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan jabatan/ agensi sektor awam. Amalan EKSA menggalakkan jabatan/agensi sektor awam memberikan penekanan pada penyampaian sistem perkhidmatan, mesra pelanggan dan memberi keselesaan semasa berurusan. Bagi pelanggan orang kurang upaya (OKU), kemudahan yang sesuai harus disediakan. 

Kepelbagaian Agensi
EKSA memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi kriteria generik dan kriteria khusus dengan mengambil kira kepelbagaian premis jabatan/agensi kerajaan mengikut jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan yang dipraktikkan sebelum ini iaitu one size fits all didapati kurang mencakupi keperluan kepelbagaian jabatan/ agensi kerajaan pada masa kini.

Thursday 6 August 2015

Pelancaran EKSA [5 Ogos 2015]

Pada 5 Ogos 2015 telah berlangsung Majlis Pelancaran EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam) yang bertempat di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah INTURA.

EKSA merupakan inisiatif MAMPU dalam penjenamaan semula pelaksanaan Amalan 5S yang bertujuan meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi yang lebih berimej korporat. Selain itu, EKSA juga lebih menekankan tentang bagaimana untuk melahir dan menzahirkan idea, kreativiti dan inovasi.

Selain daripada itu, EKSA juga mempunyai kaedah penilaian dan pengauditan baru yang merangkumi kriteria generik dan kriteria khusus dengan turut mengambilkira kepelbagaian premis agensi kerajaan mengikut jenis-jenis perkhidmatan yang diberikan. Ini berbeza dengan Amalan 5S yang diamalkan sebelum ini di mana pendekatan one size fits all adalah kurang memadai dengan kepelbagaian perkhidmatan di dalam agensi kerajaan pada masa ini.

Majlis ini di mulai dengan penerangan ringkas oleh Penyelaras EKSA INTURA, Pn Aishah Musa di Dewan Jubli Perak pada jam 9.00 pagi. Seterusnya program diteruskan dengan amanat dari YBrs. Dr. Zurina bt. Abdul Hamid, Pengarah INTAN Wilayah Utara. Di dalam amanat beliau, YBrs. Dr. Zurina menekankan apa yang perlu dilaksanakan dalam mencapai Persijilan EKSA. Beliau turut berkongsi tentang  pemantapan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan akan terhasil secara tidak langsung jika EKSA dilaksanakan. Ini selaras dengan Teras Strategik 3 JPA Merakyatkan Perkhidmatan Awam.

Beliau turut mengalakkan warga untuk menyemarakkan aktivitivi yang mefokuskan tentang kreativiti dan inovasi serta mengujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Go-Green.

Selesai amanat beliau, YBrs. Dr. Zurina turut merasmikan pelancaran ‘INTURA : Ke Arah Persijilan EKSA’ dan semua ketua setiap zon turut sama memeriahkan gimik pelancaran yang diadakan pada hari itu.